Sistem Diagnosis Perubatan Berbantukan Komputer: Keupayaannya sebagai Pendapat Kedua kepada Personel Perubatan
- Ex Tax: RM8.00
- Author: Nor Ashidi Mat Isa
- Availability: In Stock
- e-ISBN: 9789674614355
- Book Type: E-book
- Format: Flipbook
Diagnosis, salah satu terminologi utama dalam bidang perubatan, merujuk kepada
pengenalpastian sesuatu penyakit atau ketidaknormalan dengan memeriksa simptomsimptom fizikal yang wujud. Secara umum, proses diagnosis dilakukan oleh personel perubatan
secara manual dengan meneliti dan memeriksa modaliti tertentu seperti sampel darah dan
imej perubatan. Ketepatan sesuatu diagnosis dikekang oleh limitasi teknikal dan/atau manusia.
Kekangan teknikal merujuk kepada kualiti sampel atau modaliti yang tidak baik, limitasi
keupayaan dan had kelengkapan atau mesin modaliti. Sebaliknya, kekangan manusia merujuk
kepada kesalahan diagnosis oleh personel perubatan disebabkan oleh limitasi pengalaman dan
pengetahuan serta bersifat subjektif dan bergantung sepenuhnya pada keupayaan manusia.
Oleh itu, sistem diagnosis sokongan yang bersifat lebih objektif diperlukan. Namun, sistem ini
bukanlah bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas personel perubatan tetapi berfungsi
sebagai sistem yang memberikan pendapat kedua kepada personel perubatan, terutama
bagi kes-kes yang mempunyai keputusan diagnosis yang berbeza dalam kalangan personel
perubatan.
Pelbagai jenis sistem perubatan berbantukan komputer telah diperkenalkan oleh penyelidik
seperti sistem pengurusan pesakit, diagnosis penyakit, prognosis penyakit dan peningkatan
kualiti modaliti dan sampel perubatan. Sistem perubatan berbantukan komputer melibatkan
empat fasa utama, iaitu pemerolehan, prapemprosesan, pengekstrakan ciri dan pengelasan
data. Fasa pemerolehan data melibatkan penukaran data masukan yang diukur daripada
bentuk fizikal dunia nyata kepada nilai digit numerik yang boleh dimanipulasikan oleh sistem
komputer. Fasa prapemprosesan data perubatan bertujuan membaik pulih dan menyeragamkan
data masukan perubatan ke dalam bentuk atau keadaan standard/piawai agar algoritma
pengkomputeran mampu dilaksanakan ke atas semua jenis data perubatan tanpa mengira
keadaan dan kualiti asal data perubatan tersebut. Usai pengaplikasian prapemprosesan,
sebagai imitasi daripada konsep pemerhatian manusia, pengekstrakan ciri-ciri dan sifat-sifat
data perubatan dilakukan untuk mengekstrak ciri-ciri signifikan modaliti data perubatan untuk
digunakan sebagai data masukan dalam fasa pengelasan data. Fasa pengelasan data perubatan
pula berperanan mengumpul, mengasing dan mengelas ciri-ciri data perubatan kepada tahap
perbezaan sesuatu penyakit.